Anwar Ketemu Pemimpin Utama Dunia Islam, Nyata Sokongan Padu Terhadap Qatar Dan Palestin

DOHA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan pertemuan ringkas bersama beberapa pemimpin utama dunia Islam di sela-sela Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang berlangsung di Doha, Qatar.

Pertemuan tersebut melibatkan Perdana Menteri dan Putera Mahkota Arab Saudi, Presiden Turkiye, Raja Jordan, Presiden Pakistan serta Putera Mahkota Kuwait.

Dalam satu hantaran di Facebook yang dikongsikan selepas sesi tersebut, Anwar menegaskan pendirian tegas Malaysia terhadap serangan Israel yang disifatkan sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan.

“Kami menekankan sokongan penuh terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rakus dan biadab rejim Zionis Israel, di samping memperkukuh kesepakatan untuk membela Palestin.

“Fokus utama adalah memastikan tindakan bersama yang lebih tegas bagi menamatkan pencerobohan Israel, mempertahankan kedaulatan negara Arab-Islam serta menjamin hak rakyat Palestin,” katanya.

Sidang kemuncak ini diadakan susulan serangan udara Israel ke atas Doha yang meragut nyawa beberapa pemimpin Hamas dan pegawai keselamatan Qatar.

Serangan tersebut mencetuskan kecaman meluas dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang kini berusaha merangka resolusi bersama bagi menamatkan keganasan dan mempertahankan undang-undang antarabangsa.

Kehadiran Anwar di sidang ini bukan sahaja memperkukuh solidariti Malaysia terhadap Qatar dan Palestin, malah mencerminkan komitmen negara dalam memperjuangkan keadilan dan keamanan serantau.

Anda Mungkin Berminat