PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu sahabat lamanya, Syed Hamid Ali, di kediaman beliau di Batu Pahat petang Sabtu, sekali gus mengimbau kembali detik-detik perjuangan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) puluhan tahun lalu.
Anwar menyifatkan Syed Hamid sebagai antara tokoh penting dalam gerakan mahasiswa yang lantang memperjuangkan isu keadilan sosial dan hak golongan susah.
“Terima kasih atas keteguhan dalam perjuangan, kekal setia dalam khittah perjuangan serta kesediaan berterusan berkongsi pandangan dan pedoman.
“Saya mendoakan kesihatan dan afiyah berpanjangan buat Pak Hamid dan keluarga,” katanya.
Dalam pertemuan penuh mesra itu, kedua-duanya mengenang pelbagai kisah lama termasuk peristiwa jaket merah yang pernah dipinjamkan Syed Hamid kepada Anwar ketika menghadiri persidangan di luar negara.
Namun, jaket tersebut tidak sempat dipulangkan kerana hilang di Tok Kun.
Anwar turut menyampaikan salam daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala Syed Hamid menghadiahkan beliau sebuah memoir berjudul Kenangan Seorang Patriot.








