Anwar Kongsi Hadiah Diterima Daripada G-Dragon

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau dan para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) telah menerima hadiah istimewa daripada ikon K-pop terkenal, G-Dragon, semasa Sidang Kemuncak APEC 2025 yang berlangsung di Korea Selatan, baru-baru ini.

Hantaran ringkas Anwar di media sosial berbunyi, “Lupa nak kongsi, tempoh hari saya dan pimpinan APEC dapat hadiah dari G-Dragon,” katanya.

Hadiah yang diterima termasuk CD album G-Dragon dan ‘light stick’ rasmi berbentuk bunga daisy, dikenali sebagai Day-G Bong, yang menjadi simbol ikonik dalam dunia peminat K-pop.

Barangan eksklusif itu diberikan selepas G-Dragon membuat persembahan khas semasa makan malam rasmi pemimpin APEC, membawakan lagu ‘Drama’ dan ‘Power’ yang memukau hadirin dari seluruh rantau Asia-Pasifik.

Anwar turut memuat naik klip pendek persembahan tersebut atas permintaan ramai, membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan sendiri detik bersejarah yang menggabungkan diplomasi dan seni persembahan.

Peristiwa itu bukan sekadar momen hiburan tetapi juga memperlihatkan bagaimana budaya pop Korea boleh menjadi jambatan lembut dalam hubungan antarabangsa.

Ia mengangkat nilai diplomasi budaya dan memperkukuh semangat Malaysia MADANI, menjadikan APEC 2025 bukan sahaja medan perbincangan ekonomi tetapi juga ruang untuk pertukaran budaya dan solidariti serantau.

Dengan hashtag seperti #BelumMoveOn dan #KpopForever, jelas bahawa hadiah daripada G-Dragon bukan sekadar cenderamata tetapi ia adalah kenangan yang akan terus dikenang, bukan sahaja oleh pemimpin tetapi oleh seluruh rakyat Malaysia yang bangga melihat budaya pop menjadi sebahagian daripada diplomasi negara.

Anda Mungkin Berminat