ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan untuk melaksanakan istiadat peletakan kalungan bunga di Anıtkabir, makam tokoh agung Türkiye, Mustafa Kemal Atatürk.
Dalam kunjungan rasmi itu, beliau turut dibawa meninjau persekitaran kompleks bersejarah tersebut termasuk muzium yang menghimpunkan naratif perjuangan, pengorbanan serta visi besar pembinaan negara bangsa Türkiye.
Anwar menyifatkan pengalaman itu sebagai satu momen penuh makna yang mengundang renungan mendalam tentang kepemimpinan dan pengabdian kepada tanah air.
“Diberi penghormatan untuk melaksanakan istiadat peletakan kalungan bunga di Anıtkabir yang menempatkan makam Mustafa Kemal Atatürk, tokoh agung Türkiye.
“Saya turut dibawa meninjau persekitaran kompleks ini termasuk muzium yang menghimpunkan naratif sejarah, pengorbanan dan visi besar pembinaan negara bangsa Türkiye.
“Kunjungan ini memberi ruang renungan yang mendalam tentang makna kepemimpinan, pengabdian kepada tanah air serta pentingnya nilai kenegaraan dalam membina masa depan adil dan bermaruah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kunjungan ke Anıtkabir itu bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Türkiye, malah menzahirkan penghormatan Malaysia terhadap warisan kepemimpinan Atatürk yang dikenang sebagai pengasas Republik Türkiye.








