PETALING JAYA: Majlis Sejarawan Negara hari ini diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkukuh jati diri bangsa, menegakkan maruah negara dan memperdalam pemahaman terhadap sejarah tanah air.
Pelancaran majlis tersebut disifatkan sebagai langkah penting dalam menyokong gagasan Malaysia MADANI, yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan teknologi dengan pemeliharaan roh bangsa melalui sejarah, budaya dan nilai peradaban.
“Sejarah tidak boleh dilihat sekadar catatan masa lalu, sebaliknya medan untuk menilai akar peradaban, mengenal kekuatan identiti dan mengingatkan masyarakat tentang bahaya kerakusan kuasa, kezaliman serta kepincangan sistem,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Majlis Sejarawan Negara turut menekankan keperluan merumuskan naratif sejarah berdasarkan pandangan dan pengalaman bangsa sendiri, sekali gus menolak dominasi tafsiran kolonial yang dibentuk melalui tokoh seperti Stamford Raffles, Snouck Hurgronje, Macaulay dan Cromer.
Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), Anwar turut mengingatkan bahawa pengukuhan nilai sejarah dan akhlak adalah penting agar teknologi tidak menjadikan bangsa hilang arah.
“Teknologi hanya akan bermakna jika berpaksikan budaya, bahasa dan identiti nasional,” tegas beliau.