Anwar Lawat Muzium Diraja Abu Bakar, Puji Usaha Johor Perkasa Warisan

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengunjungi Muzium Diraja Abu Bakar dan menyifatkannya sebagai sebuah institusi penting yang menghimpunkan khazanah diraja serta warisan sejarah dan kebudayaan Kesultanan Johor.

Menurut beliau, muzium berkenaan bukan sahaja menyimpan khazanah bernilai tinggi, malah persekitaran landskapnya yang terpelihara turut menambah daya tarikan.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor atas usaha berterusan menaik taraf aset warisan dan memperkasa sektor pelancongan negeri.

“Saya salut usaha Kerajaan Negeri Johor yang konsisten dalam memperkasa aset warisan sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh sektor pelancongan negeri, malah menyokong agenda nasional sempena Tahun Melawat Malaysia.

“Usaha ini turut merancakkan ekonomi setempat di samping memelihara jati diri serta sejarah bangsa,” katanya.

Tambah Anwar, pemeliharaan warisan dan sejarah perlu diberi keutamaan agar khazanah negara terus dihargai oleh generasi akan datang, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Anda Mungkin Berminat