ADDIS ABABA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan jadual rasmi di ibu negara Ethiopia dengan melawat Muzium Kemenangan Adwa, sebuah pusat sejarah yang memperingati kemenangan rakyat Ethiopia menentang kuasa imperialis Itali dalam Pertempuran Adwa 1896.
Menurut Anwar, muzium berkenaan menampilkan koleksi artifak dan karya seni yang menggambarkan secara terperinci keberanian, martabat serta semangat juang rakyat Ethiopia ketika mempertahankan tanah air mereka.
“Muzium yang sangat menakjubkan ini mengabdikan pelbagai artifak sejarah dan lukisan yang menelusuri catatan sejarah, martabat, keberanian dan keteguhan rakyat Ethiopia saat berdepan dengan kuasa imperialis Itali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, kemenangan bersejarah di Adwa bukan sekadar pencapaian ketenteraan Ethiopia tetapi simbol penentangan tegas terhadap imperialisme di seluruh benua Afrika.
“Ia tidak hanya mercu kejayaan rakyat dan tentera Ethiopia tetapi menjadi simbol tegas penolakan terhadap imperialisme yang dihadapkan ke atas benua Afrika,” katanya.
Anwar turut menyifatkan Adwa sebagai titik penting yang menyuntik inspirasi kepada gerakan kemerdekaan di Afrika yang muncul selepas itu.
“Kemenangan di Adwa menjadi petunjuk nyata serta menginspirasikan keyakinan dan sumber kekuatan kepada pelbagai gerakan kemerdekaan selepasnya,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Ethiopia atas usaha negara itu memelihara dan mengangkat nilai sejarah dengan penuh keteguhan.
“Salut saya kepada Ethiopia kerana punyai kemampuan yang teguh dalam mengangkat nilai dan pembudayaan sejarah yang serius dan mantap untuk dunia seluruhnya,” katanya lagi.








