Anwar Libat Urus Bersama Pimpinan Islam Afrika Selatan, Sumbang Al-Quran

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan program lawatan rasmi ke Afrika Selatan dengan sesi libat urus bersama pimpinan Islam negara itu pada Jumaat, membuka ruang dialog yang menyentuh pembangunan ummah dan kerjasama rentas sempadan.

Dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh hormat dan keakraban, Anwar menekankan kesediaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal termasuk pembangunan pensijilan dan kapasiti yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti Islam di Afrika Selatan.

“Kerjasama ini bukan sahaja memfokus kepada aspek ekonomi tetapi turut membabitkan pembangunan komuniti, pendidikan dan pengukuhan nilai Islam yang sejahtera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kepentingan pendidikan, dakwah berhemah, dialog antara peradaban serta hubungan erat dengan komuniti Islam sebagai langkah memartabatkan Islam secara seimbang dan toleran.

Sebagai simbol persaudaraan dan penghormatan, Anwar menyerahkan sumbangan senaskhah al-Quran edisi khas berserta rehal serta empat kotak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bertajwid kepada pimpinan Islam Afrika Selatan.

Sumbangan tersebut dijangka digunakan untuk memperkukuh aktiviti keagamaan dan pendidikan Islam dalam komuniti tempatan, selain meningkatkan kefahaman mengenai teks al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara itu.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja rasmi Anwar ke Afrika Selatan dari 20 hingga 23 November, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) sebagai tetamu kepada Presiden Matamela Cyril Ramaphosa.

Anda Mungkin Berminat