KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melonjak ke tangga ke-10 dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC), sebuah badan pemikir bernaung di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt di Amman, Jordan.
Peningkatan itu menyaksikan Anwar naik lima anak tangga berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2025 dan ke-17 pada 2024, kemajuan yang dianggap signifikan dalam konteks pengaruh kepimpinan Islam global.
Laporan tahunan RISSC yang menjadi rujukan utama dunia Islam itu menyorot perjalanan panjang Anwar dari zaman mahasiswa di Universiti Malaya hingga pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.
Anwar digambarkan sebagai pemimpin berjiwa reformis yang melalui pelbagai cabaran politik — termasuk tempoh pemenjaraan, pengguguran jawatan dan perjuangan panjang sebagai pembangkang sebelum kembali menerajui pentadbiran negara di bawah gagasan Malaysia MADANI.
RISSC turut menonjolkan peranan Anwar dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja berikutan insiden pertempuran di sempadan, dengan menyifatkannya sebagai “pendamai serantau yang berjaya membina kepercayaan antara dua negara jiran.”
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.
Dalam konteks antarabangsa, laporan berkenaan turut menekankan ketegasan Anwar dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menentang kekejaman rejim Zionis di Gaza. Beliau antara pemimpin Islam paling lantang mengecam tindakan Israel dan menyeru dunia agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman tersebut.
RISSC turut memetik pendirian tegas Anwar terhadap syarikat teknologi global, Meta, selepas platform itu memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, dengan beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai pengecut dan tunduk kepada tekanan politik Israel.
Penyenaraian itu mengiktiraf kepimpinan Anwar yang menggabungkan prinsip keadilan sosial, tadbir urus Islam progresif dan diplomasi berasaskan nilai kemanusiaan.
Selain Anwar, antara tokoh teratas dalam senarai tersebut termasuk Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud (Arab Saudi), Ayatollah Sayyid Ali Khamenei (Iran), Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan, dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
RISSC yang berpangkalan di Jordan mula menerbitkan laporan tahunan itu sejak 2009 dengan objektif menilai pengaruh tokoh-tokoh Islam dalam pelbagai bidang termasuk politik, pendidikan, sains, dakwah, filantropi dan kebudayaan.
Baca juga:








