KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas melebihi RM31 juta bagi mempercepat pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di Pulau Banggi, sekali gus memastikan penduduk di pulau terbesar negara itu menikmati pembangunan yang lebih menyeluruh.
Peruntukan melalui Kerajaan Persekutuan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu meliputi projek jalan raya, jambatan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kemudahan jeti.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, antara projek yang akan dilaksanakan ialah naik taraf jalan dan jambatan di Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut, selain penambahbaikan Polis Diraja Malaysia di Pulau Banggi serta fasiliti kesihatan di Klinik Kesihatan Karakit.
Turut disenaraikan ialah projek menaik taraf asrama sekolah di Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, pelaksanaan projek keselamatan dan pertahanan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, serta naik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri.
“Saya mahu Pulau Banggi menjadi contoh bahawa rakyat yang miskin atau tinggal di kawasan terpencil tidak dibiarkan terpinggir.
“Kerajaan MADANI memikul tanggungjawab untuk mengangkat martabat dan keupayaan setiap rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama penduduk Pulau Banggi pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata projek menaik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah dengan kos hampir RM44 juta.
Menurutnya, projek itu amat penting kerana rangkaian jalan raya yang lebih baik akan membuka akses ekonomi, pendidikan dan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman pulau berkenaan.
Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan tambahan RM1.25 juta yang akan diselaraskan oleh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi melaksanakan program pendidikan, pembangunan insan, kesihatan, teknologi hijau dan pengupayaan institusi.
Selain itu, kerajaan meluluskan RM1 juta bagi menaik taraf jeti di Kampung Dogoton untuk kegunaan penduduk setempat serta agensi penguat kuasa.
Anwar menegaskan kedudukan geografi Pulau Banggi yang jauh tidak boleh dijadikan alasan untuk masyarakat di kawasan itu terus ketinggalan.
“Usaha berterusan akan digerakkan bagi memastikan setiap rakyat berpeluang menikmati taraf hidup yang lebih baik,” katanya.
Baca juga:







