TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan Hospital Tawau beroperasi pada tahap optimum, demi menjamin akses kesihatan yang menyeluruh dan berkualiti buat rakyat Sabah.
Hasrat itu dinyatakan beliau ketika merasmikan Majlis Peluncuran Blok Baharu Hospital Tawau, yang dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM223.65 juta sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur kesihatan di kawasan pantai timur negeri.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, blok baharu tersebut menambah 154 katil menjadikan keseluruhan kapasiti rasmi hospital kepada 585 katil.
Ia turut memperluas keupayaan rawatan untuk penduduk di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
“Kekuatan sebenar sistem kesihatan bukan diukur pada bagaimana ia melayani yang kuat tetapi bagaimana ia melindungi yang lemah,” kata Dzulkefly yang juga menekankan prinsip kesaksamaan wilayah yang menjadi teras agenda Kerajaan MADANI.
Hospital Tawau kini dilengkapi kepakaran dalam bidang kardiologi, geriatrik dan pembedahan plastik rekonstruktif, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap hospital luar daerah bagi mendapatkan rawatan khusus.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan persembahan lagu Senyuman Sabahan oleh koir jururawat Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), yang menggambarkan semangat mesra dan kasih rakyat negeri itu terhadap usaha memperkasa sistem kesihatan.








