Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agar seluruh kementerian dan Syarikat-Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) memberi penekanan serius terhadap aspek penilaian keberkesanan, selain memastikan pelaksanaan inisiatif yang dirangka agar tidak bertindih dan bersifat saling melengkapi.
Anwar berkata demikian di laman rasmi Facebooknya seusai menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung pagi tadi.
“Saya telah meneliti secara menyeluruh kemajuan pelaksanaan serta inisiatif-inisiatif berimpak tinggi di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya pada Rabu.
Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat terbabit turut mengambil maklum kemajuan semasa pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) dalam menyokong agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, khususnya dalam bidang pembangunan hartanah, keusahawanan, pembangunan bakat dan inisiatif sosial.
Kata Anwar, tindakan membuat analisis yang mendalam dan berterusan adalah penting bagi mengelakkan kecenderungan untuk berasa selesa sekadar menyenaraikan usaha yang telah dilaksanakan, tanpa menilai impak sebenar serta ruang penambahbaikan yang wajar diterokai.
Justeru, beliau yakin dengan pendekatan yang lebih bersepadu, berfokus dan tersusun, inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan terus memberi manfaat merentasi pelbagai lapisan masyarakat serta menzahirkan hasil yang dihasratkan demi kemakmuran ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan.
Baca juga:








