Anwar Mahu Undang-Undang AI Lindungi Hak Cipta Karya Kreatif Tempatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital merangka peruntukan undang-undang berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi melindungi hak cipta, khususnya dalam bidang kreatif.

Menurut beliau, usaha ini penting bagi menjamin hak dan kreativiti penggiat seni seperti kartunis, pembikin filem, penyair serta penggiat budaya lain yang berdepan ancaman kemerosotan daya cipta akibat penggunaan AI yang tidak terkawal.

“Perlindungan harus diberikan bukan sahaja kepada kartunis tetapi juga filem, puisi, dan karya seni lain yang kadang-kadang ‘dibunuh’ oleh sistem yang mematikan daya cipta dan keupayaan seniman,” katanya.

Jelas beliau, kementerian berkaitan perlu memastikan sebarang kerangka perundangan yang digubal tidak sekadar meniru acuan luar, sebaliknya berperanan mempertahankan jati diri, nilai tempatan dan aspirasi seni negara.

“Negara tidak boleh menjadi ‘pak turut’ dalam perkembangan teknologi global sehingga kehilangan nilai, identiti dan semangat yang seharusnya dipupuk dalam masyarakat,” tegas beliau.

Dalam ucapannya semasa pelancaran biografi kartunis politik Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar, Anwar turut menyatakan bahawa pembangunan AI di negara ini mesti dilengkapi latihan khusus kepada golongan muda agar mereka bukan sahaja celik teknologi.

Tetapi katanya, turut kekal menjunjung nilai-nilai tempatan termasuk kepercayaan agama dan kepelbagaian budaya.

Beliau juga menyentuh perbandingan perubahan zaman dari era muda tokoh kartunis Zulkiflee Anwar Haque (Zunar) hingga kini, sebagai cerminan kepada cabaran dan evolusi dalam dunia kreatif negara.

Anda Mungkin Berminat