Anwar Menghadap Agong, Pemangku Sultan Johor Bincang Kemajuan Ekonomi Dan Pembangunan

PETALING JAYA: Seusai Majlis Pelancaran Maharani Freeport di Muar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pada Sabtu.

Pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan menyeluruh mengenai perkembangan ekonomi negara dan prospek pembangunan Johor sebagai antara negeri pemacu pertumbuhan utama Malaysia.

Anwar dalam satu hantaran di Facebook menekankan kepentingan memastikan pembangunan negara berlaku secara seimbang dan inklusif antara negeri.

“Saya berkongsi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh daya saing negara, agar setiap inisiatif pembangunan memberi manfaat yang benar-benar dirasai rakyat,” katanya.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sektor ekonomi strategik di Johor termasuk peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur serta projek jangka panjang yang mampu merangsang pertumbuhan wilayah selatan itu.

Kerajaan MADANI menekankan bahawa setiap inisiatif pembangunan perlu bersifat menyeluruh, memastikan manfaat ekonomi dan infrastruktur dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.

Anda Mungkin Berminat