KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Republik India Narendra Modi, dalam satu perbincangan yang menyentuh pelbagai aspek kerjasama dua hala serta komitmen bersama ke arah rantau yang lebih stabil dan sejahtera.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa perbincangan tersebut menjurus kepada usaha memperkukuh hubungan Malaysia–India.
“Malam tadi saya menerima panggilan telefon dari rakan sejawat Perdana Menteri Republik India Narendra Modi bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh,” katanya.
India kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia dengan hubungan yang melangkaui perdagangan dan pelaburan.
Kedua-dua pemimpin turut menyentuh kerjasama erat dalam sektor teknologi, pendidikan dan keselamatan serantau.
Perbincangan turut merangkumi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
Dalam hal itu, Modi memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri sidang secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India ketika itu.
“Beliau (Modi) memaklumkan akan menghadiri secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika itu.
“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN kali ini dijangka menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama serantau termasuk hubungan ASEAN–India yang semakin berkembang dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pembangunan mampan.
“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia–India dan meningkatkan lagi kerjasama ASEAN–India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur,” katanya lagi.








