JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memperuntukkan sehari dalam seminggu khusus untuk parti mulai Jun ini, dalam usaha memperkukuh kekuatan PKR.
Beliau mengakui sebelum ini lebih menumpukan perhatian kepada pembangunan negara selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
“(Sebelum ini) Saya terbeban dengan tanggungjawab baru (sebagai Perdana Menteri), saya nak negara ini bangkit jadi negara hebat.
“Cita-cita saya tinggi untuk melihat beberapa tahun lagi Malaysia ini jadi negara hebat, jadi saya terlalu tumpu pada urusan negara.
Kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat), saya mohon maaf kerana sepanjang hampir tiga tahun saya jadi Perdana Menteri, saya paling kurang ambil berat soal parti. Apakah ia keputusan wajar? Semestinya tidak,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional PKR di Johor Bahru, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan kepentingan menjaga hubungan baik antara parti gabungan dalam Kerajaan MADANI dengan mengingatkan bahawa perpecahan hanya merugikan negara.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan ahli agar lebih berhemah dalam berbicara ketika melontarkan teguran.
Berhubung pemilihan kepimpinan pusat PKR, Anwar menyeru semua ahli kembali bersatu selepas proses berkenaan selesai.
“Jangan andaikan yang menang itu menang semua, monopoli semua, yang kalah itu kalah terus.
“Belajarlah daripada kelemahan, guna pengalaman kita beri sumbangan sebaiknya,” katanya.