Anwar Mula Lawatan Diplomatik Ke Afrika, Temui Pemimpin Dan Industri Global

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Afrika dengan destinasi pertama di Addis Ababa, Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia bagi mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri, Abiy Ahmed Ali.

Selain pertemuan rasmi, lawatan itu turut merangkumi sesi bersama peneraju industri dan perniagaan serta pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam di negara berkenaan, menekankan kepentingan hubungan ekonomi dan diplomasi yang lebih erat.

Selepas Ethiopia, Anwar dijadualkan berangkat ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk mewakili Malaysia dalam Persidangan G20, di samping mengadakan pertemuan dengan Presiden Cyril Ramaphosa.

Lawatan beliau seterusnya akan ke Nairobi, Kenya bagi sesi pertemuan dengan Presiden William Ruto. Agenda utama termasuk merapatkan hubungan dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu, serta bertemu pemimpin Islam di negara itu.

Dalam kenyataannya, Anwar berkata, komitmen Malaysia untuk terus mengangkat kepentingan dan suara negara di pentas antarabangsa.

“Mohon doa teman-teman agar urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudah, lantas membawa manfaat dan pulangan terbaik kepada negara,” kata beliau.

Anwar turut menekankan bahawa Malaysia akan memperkukuh multilateralisme, meluaskan peluang pelaburan dan ekonomi serta meningkatkan diplomasi dan hubungan antarabangsa melalui rangka lawatan ini.

Lawatan diplomatik ke tiga negara Afrika ini dijangka membuka ruang kerjasama ekonomi dan politik yang lebih kukuh, sekali gus memperluas jaringan Malaysia di benua yang semakin penting dalam geopolitik global.

Anda Mungkin Berminat