KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini turun padang meninjau pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di tiga sekolah sekitar Sungai Besi bagi memastikan pengagihan berjalan lancar.
Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, SJKC Kwong Hon dan SJKT Sungai Besi.
Menurut beliau, inisiatif BAP bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak khususnya pada permulaan sesi persekolahan baharu.
Dalam lawatan itu, Anwar turut meluangkan masa menyantuni murid yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Beliau menyifatkan keterujaan mereka sebagai simbol harapan besar terhadap masa depan negara.
“Setiap anak bukan sahaja menggalas harapan ibu bapa, malah memikul keyakinan para pendidik serta cita-cita besar negara.
“Sekolah juga berperanan membentuk sahsiah, disiplin dan jati diri, selain menjadi tempat menimba ilmu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Anwar berkata, pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan, namun kejayaan sistem pendidikan tidak boleh hanya bergantung kepada dasar dan peruntukan semata-mata.
“Pendidikan memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik bagi memastikan murid menerima sokongan menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah,” katanya.
Tambah beliau, pendidikan berkualiti yang berteraskan nilai dan kemanusiaan diyakini mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.








