Anwar Pengerusi Mesyuarat Bersama Pimpinan ATM Di MINDEF

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) bersama kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut hantaran di laman rasmi Facebook Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.

“Majlis dimulakan dengan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian bersama Perdana Menteri sebagai wadah memperkukuh penyelarasan dasar, kesiapsiagaan pertahanan serta tadbir urus yang berintegriti.

“Kehadiran kepimpinan tertinggi ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan setiap perancangan dan keputusan strategik dilaksanakan secara tersusun demi kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Selain mesyuarat, Perdana Menteri turut menghadiri Program Ihya Ramadan yang diadakan di MINDEF dengan pengisian rohani penuh makna.

Program tersebut menampilkan Tazkirah Ramadan oleh Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), Koperal Dr Khairul Fauzi Azmi, bertemakan Madrasah Ramadan: Ibrah 3T (Takhalli, Tahalli dan Tajalli).

“Pengisian rohani diteruskan menerusi Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Takhalli menuntut penyucian hati daripada sifat-sifat mazmumah; Tahalli mengajak menghiasi diri dengan akhlak mahmudah; manakala Tajalli membimbing agar sentiasa merasai kebesaran dan keagungan Allah SWT dalam setiap amanah yang dipikul.

“Penghayatan nilai-nilai ini diharap dapat membentuk warga pertahanan yang bukan sahaja cekal dan berdisiplin, malah luhur akhlaknya serta tinggi integritinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada hala tuju strategik bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.

“Kerajaan MADANI akan terus komited dalam memastikan setiap pelaburan yang diterima tidak hanya memberi pulangan ekonomi, tetapi turut memberi manfaat dalam pembangunan modal insan tempatan, pemindahan teknologi berimpak tinggi serta pengukuhan rantaian bekalan domestik.

“Kerajaan akan terus menumpukan usaha untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat, agar hasil kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat