PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-9, Bil. 2 Tahun 2025 bagi memperkukuh penyelarasan dasar serta pelaksanaan agenda perlindungan sosial negara.
Anwar menegaskan keperluan semua program perlindungan sosial dilaksanakan secara inklusif, meliputi seluruh negara dan merangkumi semua segmen masyarakat tanpa kecuali.
“Pelaksanaan inisiatif mesti dipercepat dengan meneliti semula undang-undang dan peraturan berkaitan, termasuk penyediaan perkhidmatan penting seperti pusat rehabilitasi supaya impaknya benar-benar dirasai rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat turut mengambil maklum penambahbaikan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dipacu Kementerian Ekonomi bagi memperkukuh penyasaran bantuan dan perkhidmatan sosial.
Selain itu, pembentangan kertas kerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Bank Dunia dan Kementerian Ekonomi turut dibincangkan dalam usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem perlindungan sosial negara.
Anwar pada masa sama merakamkan tahniah kepada PERKESO atas pelantikan semula sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026 hingga 2028.
“Pelantikan semula ini satu pengiktirafan besar terhadap keupayaan Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang keselamatan dan perlindungan sosial,” ujarnya.
Beliau turut menghargai penerbitan Statistik Perlindungan Sosial Malaysia 2024 yang disifatkan sebagai rujukan penting dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kepada rakyat.
MySPC ditubuhkan sebagai platform penyelarasan antara kementerian dan agensi bagi merangka dasar perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, selari dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.








