SEOUL: Kesemua pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) diraikan dalam Majlis Makan Malam rasmi yang dihoskan oleh Presiden Republik Korea, Lee Jae Myung, malam Jumaat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan kesempatan itu untuk memperkukuh hubungan dan menjalin kefahaman yang lebih erat dengan pimpinan negara APEC bagi manfaat bersama dan kesejahteraan serantau.
“Hubungan erat dan saling memahami antara negara-negara APEC penting untuk menjamin kestabilan ekonomi serantau serta kemakmuran bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh ikon muzik dan budaya Korea, G-Dragon, yang turut menarik perhatian para pemimpin serta peminat dari Malaysia.
Terdahulu, Anwar mengadakan beberapa pertemuan penting bersempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 bagi memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan dan teknologi hijau.
Antara tokoh yang ditemuinya termasuk Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent bagi membincangkan kerjasama perdagangan dan kewangan dua hala antara Malaysia dan AS.
Anwar turut bertemu Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation dan Pengarah Urusan YTL Power bagi memperkukuh pelaburan bernilai RM10 bilion dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau di Malaysia.
Mesyuarat APEC kali ini turut menyaksikan beberapa perbincangan strategik dengan syarikat utama seperti Namhae Chemical, Samsung C&T, JS Link dan Lynas Malaysia yang menawarkan potensi pelaburan dan eksport melebihi RM1 bilion, mencerminkan keyakinan global terhadap ekonomi Malaysia.
Baca juga:








