Anwar Perkukuh Komitmen Global Dalam Pertemuan Bersama António Guterres

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan bersejarah dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan badan dunia itu termasuk di bawah kerangka ASEAN–PBB.

Pertemuan tersebut menyaksikan Malaysia menzahirkan sokongan penuh terhadap agenda reformasi PBB yang semakin mendesak termasuk inisiatif global seperti Pact for the Future dan UN80 Initiative.

“Saya menzahirkan sokongan penuh Malaysia terhadap agenda reformasi PBB termasuk Pact for the Future dan UN80 Initiative serta menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkasa Wawasan Komuniti ASEAN 2045 seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pertemuan itu turut menjadi medan penting bagi Malaysia menyuarakan pendirian teguh terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Anwar mengalu-alukan pendirian konsisten PBB serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia turut menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan Palestin serta mengalu-alukan pendirian konsisten PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyatakan kesediaan untuk menyumbang dalam Misi Pengaman PBB ke Gaza bersama negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Selain isu kemanusiaan, perbincangan turut menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam memudah cara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, serta memajukan usaha dialog inklusif di Myanmar.

Malaysia juga katanya, komited untuk memperkukuh agenda perubahan iklim global termasuk penyerahan Nationally Determined Contributions (NDC) 3.0 menjelang COP30 di Brazil.

“Kami turut membincangkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memudah cara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, memajukan usaha dialog inklusif di Myanmar serta memperkukuh agenda perubahan iklim global termasuk penyerahan Nationally Determined Contributions (NDC) 3.0 Malaysia menjelang COP30 di Brazil,” ujarnya.

Pertemuan itu menegaskan aspirasi Malaysia untuk terus menjadi rakan strategik yang aktif dan berprinsip dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pembangunan mampan sejagat.

Anda Mungkin Berminat