Anwar PM Terbaik Dalam Diplomasi – Dr Rozaimi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinilai sebagai antara pemimpin terbaik dalam aspek diplomasi antarabangsa dan hubungan luar negara ketika ini, kata Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Dr Rozaimi Ramle.

Beliau berkata, walaupun mungkin terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan rakyat, kemampuan Anwar mengimbangi ketegasan prinsip dengan kepentingan hubungan diplomatik menunjukkan kematangan beliau sebagai pemimpin dunia Islam yang disegani.

Menurutnya, keputusan kerajaan membatalkan dasar lama yang membenarkan kapal Israel berlabuh di Malaysia adalah contoh tindakan konkrit yang melangkaui sekadar kecaman, sekali gus membuktikan keberanian kerajaan dalam mempertahankan pendirian tegas terhadap rejim Zionis.

Dr Rozaimi menambah, inisiatif Gerakan Sumud Nusantara dan Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri turut memperlihatkan pendekatan diplomasi berani Malaysia, menggunakan saluran kemanusiaan untuk menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Beliau turut mengaitkan pendekatan diplomatik Anwar dengan hikmah Rasulullah SAW yang tetap mengutus surat kepada pemerintah bukan Islam, walaupun berdepan penolakan kerana hasilnya kadang-kadang membawa kesan positif di luar jangkaan.

“Diplomasi bukan tanda kelemahan, sebaliknya strategi bijaksana.

“Hubungan akrab Anwar dengan pemimpin seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, membolehkan komunikasi terus tanpa protokol rumit.

“Inilah kekuatan diplomasi, membina kepercayaan dan persahabatan,” katanya.

Dr Rozaimi menegaskan, diplomasi bukan tanda kelemahan, sebaliknya cerminan hikmah dan kebijaksanaan seorang pemimpin dalam mendepani geopolitik global yang kompleks.

“Anwar telah menunjukkan bahawa Malaysia kekal teguh di sisi kebenaran bukan dengan senjata tetapi dengan ketegasan prinsip dan kebijaksanaan diplomasi,” katanya.

Anda Mungkin Berminat