PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu terus mengekalkan peranan sebagai institusi pelaburan yang menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, khususnya dalam aset strategik negara.
Mengulas mengenai semakan strategik PNB terhadap pelaburannya dalam kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Anwar menekankan agar pertimbangan utama syarikat itu mestilah berpaksikan kepentingan nasional serta manfaat jangka panjang pemegang unit.
“PNB diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera. Oleh itu, ia perlu mengekalkan pegangan dalam aset strategik negara.
“Proses semakan ini tidak wajar diteruskan jika menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Anwar pada masa sama menyeru PNB untuk memastikan sebarang keputusan yang dibuat selaras dengan usaha memperkukuh peranan institusi itu dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Baca juga:








