Anwar puji China turut perangi rasuah

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji China yang mempunyai matlamat sama dengan Malaysia iaitu memerangi rasuah.

Beliau menegaskan ia langkah terbaik untuk memastikan pembangunan dapat dinikmati oleh semua golongan dan bukan hanya segelintir individu sahaja.

“Kerangka Madani berakar umbi dalam kebajikan dan maruah rakyat kita, mengutamakan keadilan sosial, ketahanan ekonomi dan kelestarian dalam tadbir urus dan kini Malaysia bersama China dengan jelas berada di atas landasan yang sama.

“Kedua-dua negara kita bersatu dalam keyakinan bahawa tadbir urus yang baik adalah satu kewajipan moral dan asas kepada kemakmuran.

“Kita berdiri bersama dalam komitmen untuk memerangi rasuah dan memastikan bahawa faedah pertumbuhan sampai kepada semua orang, bukan hanya kepada segelintir yang terpilih sahaja,” ujarnya ketika berucap di Universiti Peking, Beijing.

Beliau yang juga merujuk kepada pergerakan 4 Mei yang bermula di Universiti Peking, mengakui ia sebagai pemangkin kepada semangat pembaharuan dan kemerdekaan negara China.

Tambahnya, visi Presiden Xi Jinping untuk China menjadi negara yang berprestij akan mampu dicapai pada tahun 2049.

“Sebagai mercu kehidupan intelektual China dari ambang abad ke-20 hingga kini, institusi ini telah melahirkan generasi pemimpin dan pemikir, penyair dan pemimpi, pembina dan inovator.

“Di sini juga ahli-ahli pergerakan 4 Mei mendapat inspirasi, mencetuskan seruan di seluruh negara untuk pembaharuan dan kemerdekaan dalam perjuangan ini.

“Dari tempat inilah saya percaya visi Presiden Xi Jinping untuk sebuah negara sosialis yang kuat, demokratik, beradab, harmoni, moden menjelang 2049 akan akhirnya tercapai sebagai sebuah Dinasti Song,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan inisiatif baru untuk memperkukuhkan hubungan negara-negara Teluk, dengan melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang akan membuka jalan bagi kerjasama lebih mendalam antara ASEAN, China, dan Timur Tengah.

Anda Mungkin Berminat