PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Kementerian Luar atau Wisma Putra di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) atas kejayaannya dalam memperkukuh imej dan pengaruh Malaysia di peringkat global.
Beliau berkata, kejayaan itu dapat dilihat melalui lawatan beliau ke luar negara termasuk ke negara-negara anggota ASEAN.
Anwar juga menyifatkan lawatannya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai kejayaan yang bermanfaat untuk rakyat dan negara.
“Dalam lawatan tersebut, Malaysia berjaya meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang seperti ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan,” katanya memetik laporan media tempatan.
Selain itu, Anwar yakin bahawa ASEAN berada di ambang pembaharuan dan transformasi yang dipacu oleh visi kemajuan bersama, kemakmuran dan keadilan.
Katanya, ASEAN tidak lagi sekadar menjadi pemerhati dalam hal ehwal global, sebaliknya berperanan sebagai satu kuasa dinamik dan berpengaruh yang memacu perubahan positif.