Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji ketegasan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva yang lantang menyuarakan isu hak rakyat Palestin di Gaza.
Beliau turut menyifatkan Lula sebagai pemimpin yang konsisten memperjuangkan hak golongan pekerja serta masyarakat berpendapatan rendah.
“Presiden Lula da Silva dikenali sebagai tokoh yang memperjuangkan keadilan sosial dan nasib golongan kurang bernasib baik. Kisah perjuangan beliau turut menjadi inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia,” katanya dalam Sidang Media di Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Brazil atas sokongan kerajaan mereka terhadap Petronas dan beberapa syarikat tempatan Malaysia serta menyatakan komitmen dalam memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
Menurut Anwar, Malaysia dan Brazil telah membincangkan pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga, penyelidikan saintifik, pertanian dan semikonduktor.
“Kami juga berbincang tentang potensi meningkatkan import produk unggas dari Brazil serta kerjasama dalam bidang pendidikan dan kebudayaan,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh tentang minat Malaysia untuk mempelajari pengalaman Brazil dalam bidang penyelidikan sains dan inovasi, yang telah menjadi teras pembangunan negara itu sejak beberapa dekad lalu.
“Saya sendiri pernah mendapat pendedahan daripada salah seorang saintis terkenal Brazil, Dr José Israel Vargas yang menekankan pentingnya pelaburan kerajaan dalam penyelidikan saintifik dan teknologi.
“Prinsip itu banyak mempengaruhi dasar saya dalam mengutamakan penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Beliau turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada Lula atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pembangunan Antarabangsa dan Selatan Global oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada petang Jumaat.
“Pertemuan ini bukan sekadar acara diplomatik biasa, tetapi pertemuan antara dua sahabat yang berkongsi idealisme dan perjuangan yang sama,” tambahnya.
Tegasnya, Malaysia dan Brazil akan terus bekerjasama sebagai dua kuasa dari rantau Asia dan Amerika Selatan bagi memperkukuh kerjasama melangkaui bidang perdagangan, pelaburan dan politik.
“Kita mahu memastikan hubungan dua hala ini menjadi salah satu tonggak penting dalam usaha membina dunia yang lebih adil, berperikemanusiaan dan seimbang,” katanya.
Lula dan isterinya Rosângela da Silva tiba di Malaysia pada Jumaat bagi lawatan rasmi sekali gus sebagai tetamu jemputan sidang kemuncak ASEAN ke-47
Baca juga:








