Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hampir enam dekad memerangi rasuah di Malaysia.
Beliau berkata demikian sempena ulang tahun agensi itu yang ke-57 hari ini.
“Selamat ulang tahun SPRM yang ke-57. Teruskan usaha dan komitmen selama hampir enam dekad badan ini untuk membersihkan negara daripada rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut berkongsi kejayaan badan pencegah rasuah itu sewaktu sesi temubual program Malaysia Hari Ini (MHI) semalam.
“Jika dibandingkan sejak penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1967 hingga sekarang, pencapaian kita berterusan dan kekal relevan sehingga SPRM diwujudkan pada 1 Januari 2009 mengikut akta yang baru digubal iaitu Akta SPRM 2009.
“Dalam apa jua aktiviti kami, sama ada penyiasatan, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat telah banyak berubah daripada aspek fokus siasatan.
“Menerusi operasi utamanya juga, kami akan memfokuskan kepada tiga sektor iaitu Perolehan Awam, Penguatkuasaan Undang-undang serta Grand Corruption (rasuah berskala besar yang berprofil tinggi dan berkepentingan awam),” jelasnya.
Beliau menyifatkan, tindakan SPRM akan memantau, mengesan dan mencegah jenayah yang telah dirancang.
“Saya menyeru warga SPRM untuk menguatkan iltizam dan bersama-sama berjihad dalam memerangi rasuah serta menjadi contoh kepada semua,” ujarnya.