KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke 69, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut menzahirkan doa agar Sultan Nazrin, Raja Permaisuri Perak, serta seluruh kerabat diraja sentiasa berada dalam lindungan Allah.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja dianugerahkan keafiatan, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya,” kata beliau.
Perdana Menteri menyifatkan kepimpinan baginda sebagai berwibawa, berilmu dan dekat di hati rakyat, khususnya dalam memperjuangkan prinsip keadilan, perpaduan serta kemakmuran rakyat.
“Semoga Duli Tuanku kekal qarar memerintah rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dengan adil dan saksama,” katanya lagi.
Sultan Nazrin terkenal dengan keprihatinan tinggi terhadap isu kemanusiaan, pendidikan, ekonomi dan tadbir urus, selain sering menyeru agar pemimpin negara menjunjung integriti serta amanah dalam mentadbir.
Ucapan sembah hormat Perdana Menteri itu turut dihujani ucapan tahniah dan doa oleh rakyat di media sosial, yang berkongsi rasa bangga terhadap kebijaksanaan baginda.
Baca juga:








