PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berdukacita atas pemergian Setiausaha Kerja (SUK) PKR Pulau Pinang, Allahyarham Hasbul Syafiqi Hasbullah atau lebih dikenali sebagai Black, yang kembali ke rahmatullah.
Anwar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar khususnya kepada PKR dan landskap perjuangan reformasi di Pulau Pinang.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham memainkan peranan penting dalam menggerakkan kerja-kerja parti terutamanya di Permatang Pauh yang menjadi medan utama perjuangan politik Anwar.
“Allahyarham seorang yang baik, rajin, cepat memahami tugasan dan sangat berdedikasi dalam setiap amanah yang dipikul,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, konsistensi, ketenangan serta komitmen tinggi Allahyarham amat dihargai dan banyak membantu melancarkan perjalanan serta pengurusan organisasi parti.
“Kerja-kerjanya sentiasa kemas dan teratur. Kehilangan seorang seperti beliau meninggalkan ruang kosong yang sukar diganti,” katanya lagi.
Anwar merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka diberikan ketabahan serta kekuatan menghadapi ujian tersebut.
“Saya mendoakan agar roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh di sisi Allah SWT,” katanya.
Allahyarham Hasbul Syafiqi dikenali sebagai antara tokoh penting jentera PKR Pulau Pinang yang telah lama berbakti dengan penuh dedikasi.
Beliau disifatkan sebagai individu berdisiplin, rendah diri dan sentiasa komited terhadap perjuangan parti, meninggalkan legasi perkhidmatan yang akan terus dikenang oleh rakan seperjuangan.
Pemergian beliau bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan sahabat, tetapi juga oleh seluruh warga PKR yang pernah bekerjasama dengannya dalam menggerakkan agenda reformasi.








