Anwar Sambut Baik Persetujuan Gencatan Senjata Hamas-Israel

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan penuh terhadap persetujuan pelan rundingan gencatan senjata antara Kumpulan Pejuang Hamas dan Israel, yang dilihat sebagai titik mula ke arah keamanan yang lebih menyeluruh di Gaza.

Dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau pada Khamis, Anwar menyifatkan perkembangan itu sebagai sinar harapan buat rakyat Gaza yang telah lama bergelut dengan penderitaan dan kemusnahan akibat konflik berpanjangan.

“Saya menyambut baik laporan mengenai kemajuan rundingan ke arah gencatan senjata di Gaza.

“Perkembangan ini memberi sinar harapan setelah berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung.

“Setiap usaha untuk menghentikan keganasan serta melindungi nyawa orang awam mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan segera,” katanya.

Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan keadilan, maruah dan penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

“Saya menggesa semua pihak berkaitan agar mengambil peluang ini untuk melangkah ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya.

Persetujuan gencatan senjata ini dilaporkan tercapai selepas rundingan serius yang diadakan di Sharm el-Sheikh, Mesir, melibatkan Hamas dan beberapa kumpulan perjuangan Palestin.

Rundingan tersebut berpusat kepada cadangan pelan damai yang dirangka oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Hamas dalam kenyataannya mengesahkan persetujuan terhadap pelan tersebut, sambil menekankan perlunya jaminan antarabangsa agar Israel mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang telah dipersetujui.

Anda Mungkin Berminat