KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik ikhtiar perdamaian yang digerakkan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili komuniti Islam dan Hindu sebagai langkah memperkukuh perpaduan masyarakat.
Beliau berkata, usaha tersebut mencerminkan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, sekali gus menolak sebarang bentuk perpecahan.
“Inilah cerminan kematangan rakyat yang memilih jalan damai dan mengangkat semangat saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut Perdana Menteri, nilai kebersamaan dan hormat antara kaum merupakan asas kekuatan negara yang perlu terus dipelihara.
“Inilah ruh sebenar Malaysia yang berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan saling menghormati antara kaum,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, dalam menjayakan usaha berkenaan.
“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” ujarnya.








