Anwar Sambut Mesra Rakan Sejawat Pakistan Di KL

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.

Ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.46 malam disambut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurut satu hantaran di Facebook Anwar, lawatan ini merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi beliau ke Islamabad pada Oktober 2024, yang menyaksikan pelbagai perjanjian strategik dimeterai dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan insan.

“Menyambut kehadiran Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, yang memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.

“Pelbagai agenda telah diatur dalam lawatan ini bagi meneroka potensi kerjasama baharu antaranya bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta pertahanan, demi manfaat bersama rakyat Malaysia dan Pakistan,” katanya.

Anwar berharap semoga hubungan Malaysia–Pakistan terus subur dan berkembang maju pada masa hadapan.

Sepanjang lawatan, kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala di Putrajaya, menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan rasuah dan perusahaan kecil dan sederhana.

Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Malaysia–Pakistan serta majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana.

Sebagai simbol penghargaan terhadap kepimpinan Anwar, Shehbaz Sharif turut dijadual menyampaikan naskhah terjemahan bahasa Urdu buku SCRIPT: For a Better Malaysia, selain menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan dan Tadbir Urus daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Untuk info, hubungan Malaysia–Pakistan telah ditingkatkan ke tahap Perkongsian Strategik sejak Mac 2019 dan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM8.07 bilion pada tahun lalu iaitu peningkatan 25.5 peratus berbanding 2023.

Anda Mungkin Berminat