Anwar: Satu Dekad, Daya Tahan ASEAN Terletak Pada Semangat Persaudaraan

KUALA LUMPUR: Pencapaian satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN menjadi pemangkin kepada semangat dan keyakinan baharu dalam kalangan negara anggota, mencerminkan daya tahan luar biasa rantau ini dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada sesi Plenary Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara hari ini, menegaskan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada kesatuan dan semangat persaudaraan dalam kalangan negara anggotanya.

“Dalam menghadapi peralihan geopolitik dan perubahan sistem perdagangan global, pemusatan ASEAN (ASEAN centrality) dan ikatan persaudaraan adalah amat penting untuk kita kekal bersatu menghadapi cabaran bersama,” katanya.

Beliau turut menyentuh penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama sebagai satu kejayaan besar, mencerminkan keupayaan ASEAN untuk menyesuaikan corak kerjasama dengan realiti dunia multipolar hari ini.

“Ini adalah simbol kekuatan perpaduan blok serantau yang bukan sahaja menguntungkan rantau ini, malah memberi kesan positif kepada dunia,” ujar beliau.

Anwar turut menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap sokongan semua pihak dalam memastikan kepengerusian ASEAN kali ini mampu membawa pertumbuhan yang adil, mampan dan berdaya tahan untuk seluruh rantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menghimpunkan para pemimpin tertinggi ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau di tengah ketidaktentuan dan cabaran global yang berterusan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat