Anwar selesai hantar pencalonan Presiden PKR

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat berseloroh bahawa beliau masih belum mendaftar borang pencalonan Presiden PKR ketika ditanya mengenai pencalonan anaknya, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu.

“Saya tak daftar lagi, presiden masih kosong…saya isi kemudian,” katanya ringkas kepada media sebelum beredar.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menjamu selera di sebuah restoran di Presint 9, Putrajaya.

Bagaimanapun, mengikut laman sesawang pencalonan PKR, Anwar selesai mendaftar sebagai calon Presiden PKR yang disandangnya sejak 2018.

Jawatan Timbalan Presiden PKR kekal kosong apabila tiada calon mengemukakan pencalonan rasmi setakat petang ini iaitu hari terakhir penghantaran borang.

Proses pencalonan PKR peringkat pusat yang dibuka sejak 8 Mei lalu masih belum menyaksikan sebarang pemimpin tampil mengisi borang pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu.

Semua calon yang ingin bertanding perlu mendaftar sebelum tengah malam ini.

Beberapa nama besar seperti Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli; serta anggota Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disebut-sebut sebagai calon berpotensi, namun tiada pengesahan rasmi mengenainya setakat ini.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, seramai 10 calon sudah mengesahkan penyertaan, termasuk dua Menteri Besar iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (Selangor) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), yang mana masing-masing mempertahankan jawatan disandang.

Turut bersaing ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Enam lagi calon lain ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, serta ahli Majlis Pimpinan Pusat, Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R Yuneswaran.

Secara keseluruhan, seramai 67 ahli PKR mengemukakan pencalonan bagi merebut tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat