MERSING: Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 di Tanjung Leman, Mersing bersama warga pengakap dari pelbagai lapisan masyarakat turut disertai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sesi ‘Temu Anwar X Pengakap’, beliau berkata, institusi pengakap kekal relevan sebagai wadah pembentukan sahsiah dan kepimpinan generasi muda, selagi ia dipimpin dengan nilai-nilai yang tidak lapuk dek zaman.
“Institusi pengakap ini masih dan akan kekal relevan apabila dipimpin dengan nilai yang kekal sepanjang masa seperti kemahiran, disiplin, perpaduan yang disaluti dengan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar turut mengangkat kepentingan nilai manusiawi dalam era teknologi, menyeru agar generasi pelapis menggabungkan kemanusiaan dengan kemajuan seperti kecerdasan buatan (AI) untuk membentuk masa depan negara yang bijaksana dan inklusif.
“Nilai manusiawi itu juga, kini perlu bergerak seiring dengan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mencorak masa depan generasi pelapis yang bakal memimpin negara dengan bijaksana satu hari nanti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam keghairahan mengejar transformasi digital dan inovasi, masyarakat tidak boleh alpa terhadap nilai-nilai asas yang menyatukan rakyat Malaysia.
“Dek kesibukan mengejar daya cipta, transformasi digital dan perubahan dunia, kita jangan alpa akan kepentingan nilai manusiawi hingga mencetus kebencian dan perbalahan kaum serta agama yang telah dipertahankan selama ini,” katanya.








