KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas usaha bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Belia dan Sukan dalam menganjurkan Majlis Berbuka Puasa serta Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada Ahad.
Beliau menyifatkan sinergi antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Belia dan Sukan sebagai ikhtiar penting mendekatkan anak muda dengan masjid khususnya sempena bulan Ramadan al-Mubarak.
“Ikhtiar kedua menteri ini wajar didukung dalam mengangkat darjat anak muda sebagai memaknai payung ketakwaan madrasah Ramadan dan bukannya sibuk dalam isu yang memecahbelahkan umat,” katanya.
Dalam perkongsian beliau, Anwar turut menyentuh perbincangan bersama cucunya selepas solat Subuh mengenai Surah ‘Abasa, yang menegaskan kepentingan memberi perhatian kepada golongan kurang upaya.
Surah tersebut diturunkan sebagai teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berpaling daripada Abdullah ibn Umm Maktum, seorang sahabat buta yang ingin mendalami Islam.
Anwar berkata, suara kecil seperti Abdullah ibn Umm Maktum mungkin lebih mulia di sisi Allah SWT dan sifat hormat serta prihatin terhadap persekitaran adalah asas penting bagi generasi masa depan.
Katanya lagi, anak muda perlu dibimbing dengan adab, keberanian menghadapi ujian dan ketakwaan yang hanya tertumpu kepada Allah SWT.








