PUTRAJAYA: Seri Perdana Putrajaya membuka tirai tahun ini dengan penganjuran Majlis Ilmu MADANI, sebuah wacana ilmu yang membawa mesej penuh hikmah dan inspirasi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa, Pengarah Eksekutif United Muslim Masjid, Philadelphia, Amerika Syarikat, Syeikh Dr Tahir Wyatt, yang baru sahaja tiba di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya menekankan bahawa peluang sebegini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak muda sebagai ruang memperkukuh pemikiran dan membentuk generasi cemerlang.
“Kepada anak muda yang hadir, saya menekankan bahawa peluang sebegini amat berharga yang menuntut perbincangan yang mencabar tetapi membina seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai landasan untuk memperkukuh pemikiran dan membentuk generasi yang cemerlang,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pesanan Syeikh Dr Tahir Wyatt mengenai esensi Islam dan hikmah dalam menghadapi cabaran menjadi pengajaran penting buat dirinya.
“Segala tindakan dan keputusan, apabila berpandukan nilai agama, akan lebih bermakna jika digerakkan dengan kebijaksanaan yang dianjurkan oleh Islam,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berharap Majlis Ilmu MADANI akan menjadi wadah yang membawa keberkatan, memupuk kekuatan serta memberi inspirasi kepada anak muda untuk tampil sebagai ejen perubahan di Malaysia.








