Anwar Seru Dunia Lihat Tindakan Iran Dalam Konteks Keadilan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Israel dengan syarat pencerobohan ke atas wilayah Palestin dan Iran dihentikan serta-merta oleh rejim Zionis.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden baharu Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian dalam satu perbualan telefon rasmi bersama Perdana Menteri, hari ini.

“Presiden Masoud mengesahkan bahawa Iran menyambut perdamaian dengan syarat jelas, serangan ke atas wilayah Palestin dan Iran dihentikan.

“Beliau turut meminta jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” kata Anwar dalam kenyataan yang turut dikongsi di semua saluran media sosial rasminya.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia mengutuk keras serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah menyebabkan kehilangan nyawa rakyat biasa, pemimpin ketenteraan serta saintis Iran.

Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai melangkaui batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan penyelesaian.

“Namun dalam kerangka keadilan sejagat, kita akui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan,” ujar Perdana Menteri.

Dalam nada tegas tetapi diplomatik, Anwar turut menyelar sikap dunia yang bersifat “munafik” mengiktiraf kekuatan dan hak pertahanan Israel tetapi dalam masa yang sama menolak hak Iran untuk mempertahankan wilayahnya.

Malaysia, kata Anwar, menyambut baik kesediaan Iran untuk berdialog dan mencari jalan damai dengan semua pihak termasuk Amerika Syarikat dan Israel selagi prinsip keadilan dan kedaulatan dihormati.

“Malaysia percaya hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh boleh dicapai untuk mengelak pertembungan berpanjangan,” tambah beliau.

Kenyataan ini hadir ketika ketegangan antara Iran dan Israel terus memuncak, dengan kebimbangan meningkat terhadap potensi konflik berskala besar di rantau Asia Barat.

Anda Mungkin Berminat