SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar terus menghayati nilai qanaah atau rasa cukup dalam kehidupan, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik semasa.
Beliau berkata, nilai berkenaan penting dalam membentuk ketahanan diri dan masyarakat, selain memastikan keseimbangan dalam menghadapi cabaran ekonomi serta geopolitik global.
“Khutbah bertajuk ‘Prinsip Kecukupan Dalam Islam’ mengingatkan kita akan pentingnya menghayati nilai qanaah, yakni rasa cukup dengan segala yang dikurniakan oleh Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Terdahulu, beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah bersama penduduk setempat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam suasana dunia yang masih bergolak susulan konflik di Asia Barat, pengukuhan nilai tersebut amat penting dalam kalangan umat Islam.
“Walaupun kesan terhadap negara kita masih terkawal, kita tidak boleh alpa dan mesti sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh perpaduan serta daya tahan negara dalam mendepani cabaran global.
“Usaha ini perlu digerakkan secara bersama, sambil terus memperkukuh perpaduan dan daya tahan sebagai sebuah bangsa yang berdaulat,” katanya.
Seusai solat, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah dalam suasana penuh silaturahim sempena bulan Syawal.
Baca juga:








