BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan semua pihak supaya tidak meneruskan amalan kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor, termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kewujudan kartel bukan sahaja membebankan rakyat, malah mengakibatkan pembaziran peruntukan kerajaan serta menjejaskan usaha meningkatkan kemudahan awam dan penyampaian perkhidmatan asas.
“Jangan bergantung kepada kartel yang menekan rakyat melalui kenaikan harga melampau dalam pelbagai sektor termasuk pertahanan, kesihatan dan pembinaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai, pada Sabtu.

Menurut beliau, penguasaan kartel dalam sistem perolehan dan pasaran tertentu menyebabkan kenaikan harga yang tidak munasabah, sekali gus menyukarkan kerajaan menyalurkan dana tambahan bagi projek pembangunan seperti pembinaan hospital, klinik serta kemudahan awam di kawasan lain.
Beliau berkata kerajaan kekal komited melaksanakan reformasi tatakelola, termasuk memperkukuh ketelusan dalam proses perolehan bagi memastikan dana awam tidak dibazirkan atau disalah guna.
Anwar turut menegaskan kepentingan pengurusan perolehan yang berintegriti dalam sektor pertahanan negara serta bebas daripada pengaruh kartel bagi menjamin kewibawaan pasukan keselamatan.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap perbelanjaan pertahanan memberi pulangan maksimum kepada negara, termasuk melalui pembangunan industri tempatan dan peningkatan keupayaan aset strategik.
Perdana Menteri berkata usaha membanteras kartel serta menutup ruang ketirisan perlu dilaksanakan secara menyeluruh di semua kementerian dan jabatan supaya penjimatan yang dicapai dapat dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk kemudahan, bantuan dan peningkatan kesejahteraan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya beberapa kes terpencil tidak dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pasukan keselamatan.
Anwar berkata pengorbanan ratusan ribu anggota tentera dan polis yang bertugas di sempadan, perairan serta kawasan pedalaman amat besar dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
“Saya tidak mahu satu atau dua kes tertentu itu mewakili keseluruhan angkatan bersenjata. Negara ini aman kerana pengorbanan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan integriti dan kewibawaan pasukan keselamatan perlu terus dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kestabilan negara serta keyakinan pelabur terhadap prestasi ekonomi Malaysia.
Baca juga:








