Anwar Seru Kemboja, Thailand Selesai Ketegangan Melalui Dialog ASEAN

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan semangat dialog dan saling menghormati dalam meredakan ketegangan antara Kemboja dan Thailand, susulan perbincangan beliau bersama kedua-dua pemimpin negara tersebut.

Menurut Anwar, perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha mencari hala tuju terbaik bagi mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau.

Beliau berkata, sebarang konflik perlu ditangani secara aman tanpa menjejaskan hubungan dua hala dan kerjasama yang telah lama terjalin.

“Pendekatan berlandaskan dialog dan saling menghormati amat penting bagi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Anwar turut menyifatkan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual berlangsung pada Isnin (esok) sebagai platform paling sesuai untuk perundingan terbuka dan konstruktif.

“Mesyuarat ini membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara matang, menyelesaikan perbezaan secara aman dan mencapai penyelesaian yang adil serta berkekalan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa ASEAN secara konsisten mengangkat prinsip dialog dan konsensus dalam menangani isu serantau, selaras dengan peranan Malaysia sebagai negara anggota yang komited memelihara keamanan, kestabilan dan kerjasama.

Anda Mungkin Berminat