Anwar seru kerjasama global dengan tema ‘New Era Shared Future’ di CIIE Shanghai

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat tema ‘New Era Shared Future’ sebagai kunci utama dalam ucapannya di Majlis Pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai, China.

Beliau menegaskan bahawa tema ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk membina kerjasama antarabangsa yang inklusif, di mana semua negara mendapat manfaat dari kemakmuran bersama.

Anwar menyatakan bahawa dalam dunia yang berhadapan dengan ancaman unilateralisme dan perlindungan ekonomi, ‘New Era Shared Future’ menyeru kepada prinsip keadilan dan kerjasama yang mengutamakan manfaat sejagat.

“Saya berkongsi pandangan Presiden Xi Jinping bahawa kemakmuran dunia ini perlu dinikmati bersama oleh semua negara.

“Dasar perkongsian masa depan ini menjadi asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS, kerana prinsip ini diterima baik negara-negara Asia, Afrika, Amerika Latin dan Global South,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada China atas pendirian mereka yang mendukung perkongsian kemakmuran ketika beberapa kuasa besar ekonomi dunia mengambil sikap bertentangan.

Dalam konteks CIIE, Anwar percaya bahawa ekspo ini menjadi platform yang mempamerkan semangat ‘New Era Shared Future’ dengan menyediakan peluang bagi syarikat dari seluruh dunia, khususnya perusahaan kecil, untuk menarik pelaburan dan memperkukuh jaringan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri The 7th China International Import Expo (CIIE) & The Hongqiao International Economic Forum Opening Ceremony di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai, China, 5 November, 2024. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Malaysia, katanya, akan menggunakan jawatannya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk memajukan kerjasama serantau, termasuk melalui Sidang Kemuncak ASEAN+GCC+China yang akan memberi fokus kepada pertumbuhan ekonomi serantau dan mengurangkan jurang dalam perdagangan dan pelaburan.

Anwar mengakhiri ucapannya dengan mengutip pepatah Cina, “前人栽树,后人乘凉” – “Pohon yang ditanam oleh satu generasi akan memberi teduhan kepada generasi yang lain” – sebagai simbolik harapan beliau bahawa kerjasama antarabangsa yang kukuh akan memastikan kesejahteraan generasi akan datang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat