PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement’ di Universiti Sorbonne, salah satu institusi akademik paling berpengaruh dalam sejarah Perancis dan dunia moden.
Dalam ucapannya, Anwar menekankan keperluan untuk membina semula hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah berasaskan prinsip kesaksamaan dan kepercayaan bersama, bukan atas dasar dominasi atau legasi kolonial.
“Hubungan ini harus dibina atas dasar kesaksamaan dan kepercayaan bersama, bukan berlandaskan dominasi atau warisan penjajahan yang lama membelenggu hubungan antarabangsa,” tegas beliau di hadapan khalayak sarjana, diplomat dan pemikir antarabangsa.
Beliau turut mengangkat suara Asia Tenggara sebagai rantau yang matang secara politik dan pesat berkembang daripada segi ekonomi, sambil menekankan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memperkukuh kerjasama serantau.
Dalam nada yang menyentuh, Anwar turut menzahirkan keprihatinan terhadap konflik di Gaza dan menyeru tindakan global yang lebih tegas terhadap pencabulan hak asasi manusia.
“Keadilan tidak boleh bersifat terpilih. Nilai hak asasi dan maruah manusia harus dilindungi untuk semua tanpa mengira bangsa, agama atau geografi,” katanya.
Malah, isu Islamofobia juga disentuh secara langsung, dengan Anwar menyeru prinsip Fraternité Perancis agar diterjemah secara inklusif.
“Fraternité, prinsip luhur dalam tamadun Perancis, tidak seharusnya berhenti di sempadan identiti.
“Ia perlu diterjemah sebagai solidariti sejagat yang menjunjung maruah dan hak semua manusia,” ujarnya.
Dalam syarahan yang bernuansa sejarah dan diplomatik, Anwar menyorot detik-detik kerjasama antara peradaban Islam dan Barat serta menyeru agar perdagangan dan teknologi dijadikan alat perpaduan dan bukan perseteruan.
“Eropah dan Asia adalah dua dunia yang berbeza, namun perbezaan bukan alasan untuk berpecah… kita mampu melangkaui batas lama dan bersama-sama membentuk masa depan yang lebih adil, inklusif dan bermaruah,” katanya lagi.