Anwar Seru Penghayatan, Dakwah Berhikmah

KUALA LUMPUR: Alunan ayat suci bergema di World Trade Centre Kuala Lumpur malam tadi sempena Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 bagi tahun 1447H / 2025M.

Majlis yang berlangsung sehingga 9 Ogos itu menghimpunkan peserta dari 43 negara sekali gus memperkukuh syiar Islam dan ukhuwah sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya berkata, penghayatan Al-Quran bukan sekadar bacaan dan hafazan tetapi perlu disertai dengan usaha memahami, memaknai dan mengaitkan isi kandungannya dengan kehidupan seharian.

“Inilah yang disebutkan sebagai generasi Al-Quran yang unik (جيل القران الفريد) dimana ia berpangkal kepada usaha menguasai dan mendalami hikmah Al-Quran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menyeru agar kekuatan Al-Quran dizahirkan melalui dakwah yang sarat dengan kasih sayang dan rahmah, selari dengan semangat Kerajaan MADANI yang memperkasa sektor kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dakwah sama ada dalam keadaan tenang dan gelora masih perlu elemen kasih sayang… dan selebihnya kita berserah kepada Allah SWT,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa pada 8 Ogos 2025 (Jumaat), satu projek istimewa dinamakan Mushaf Ummah akan diluncurkan di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Mushaf itu merupakan hasil kelolaan tokoh qiraat antarabangsa Prof Dr Ahmad Isa al-Ma’sarawi, mantan Syeikhul Qurra’ Mesir, dan diterbitkan bersama Yayasan Restu.

Menurutnya, ia bakal diterjemahkan ke dalam 30 bahasa dunia, membawa mesej penyatuan dan dakwah yang melangkaui sempadan.

“Kita jawab kejadian seperti pembakaran Al-Quran dengan mencetak lebih banyak al-Quran sebagai pendekatan berhemah dan berhikmah dalam menyampaikan mesej dakwah,” ujarnya.

Beliau berkata, umat Islam bukanlah umat yang sarat dengan kemarahan tetapi umat yang penuh pengetahuan dan kearifan dalam menangani cabaran, diskriminasi dan salah faham.

Anda Mungkin Berminat