Anwar Seru PKR Johor Perkukuh Kesatuan Hadapi Cabaran Politik

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama kepimpinan PKR Johor, yang disifatkan beliau sebagai barisan pejuang akar umbi dan tulang belakang parti di peringkat negeri.

Pertemuan tersebut menyaksikan Presiden PKR itu menyeru semua jentera parti agar memperkukuh kesatuan dan menyusun gerak kerja secara lebih tersusun serta berstrategi dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Saya menitipkan pesanan agar terus merangkul kekuatan, memperkukuh kesatuan dan memantapkan gerak kerja, demi mendepani medan perjuangan yang semakin mencabar dan memerlukan iltizam yang tinggi,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.

Anwar turut berkata, PKR Johor memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda reformasi serta membawa aspirasi Malaysia MADANI hingga ke akar umbi.

“Keyakinan saya tetap utuh bahawa dengan semangat juang yang berterusan, PKR Johor mampu memainkan peranan besar dalam merealisasikan agenda reformasi dan Malaysia MADANI,” ujarnya.

Pertemuan berkenaan diadakan sempena lawatan kerja Anwar yang juga Perdana Menteri ke Johor bagi menghadiri Nikkei Forum Medini 2025 dan menyaksikan pemeteraian pelaburan strategik Jepun di negeri berkenaan.

Anda Mungkin Berminat