PETALING JAYA: Kestabilan politik dan perpaduan kaum adalah asas kemajuan negara, selain berjanji mempertahankan komitmen Persekutuan terhadap pembangunan Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian menerusi siaran secara langsung pada Program Ramah Mesra PMX bersama warga Karamunting pada Rabu.
Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan rakyat agar tidak terperangkap dengan sentimen perkauman dan politik sempit terutama menjelang pilihan raya negeri.
“Kalau kita main sentimen kaum, negeri dan daerah, kita takkan berjaya.
“Negara hanya maju kalau kita bersatu,” katanya.
Beliau berkata, dasar luar negara Malaysia perlu kekal terbuka dan pragmatik bagi memastikan ekonomi terus berkembang.
“Malaysia negara dagang. Kita mesti baik dengan semua, China, Amerika, ASEAN supaya ekonomi kuat dan rakyat dapat manfaat,” katanya.
Anwar turut menyentuh komitmen kerajaan terhadap Sabah termasuk pemulangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri serta kelulusan RM1.2 bilion bagi meningkatkan infrastrukturnya.
“Ini Kerajaan Perpaduan yang luluskan, bukan kerajaan lalu. ‘Federal’ (Pusat) dan negeri mesti bekerjasama,” katanya.
Mengulas isu pemberian hasil 40 peratus kepada Sabah, Perdana Menteri berkata, kerajaan kekal komited menghormati perjanjian itu.
“Komitmen tetap. Apa yang dipersetujui, kita tunaikan. Proses rundingan diteruskan lepas pilihan raya,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menepis kritikan pihak tertentu terhadap usaha kerajaan membantu Sabah.
“Saya hairan, yang tak bantu Sabah disokong, yang bantu diserang. Apa jenis politik begitu?” soalnya.
Beliau berkata, hasratnya bukan mengejar kekayaan atau projek tetapi memastikan Malaysia dan Sabah menjadi negara yang dihormati.
“Saya tak mahu balak, tak mahu tanah. Impian saya menjadikan Malaysia dan Sabah sebuah negara dihormati,” katanya lagi.








