Anwar seru umat Islam cari keberkatan rezeki dan pelihara nilai keluarga

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam agar tidak mengabaikan nilai kekeluargaan dalam usaha mencari rezeki dan mencapai kejayaan hidup.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Putrajaya.

Khutbah bertajuk ‘Rezeki Halal, Hidup Berkat’ menekankan bahawa keberkatan hidup bukan sekadar diukur melalui harta, tetapi pada kesejahteraan jiwa dan keharmonian keluarga.

“Dalam kesibukan mencari rezeki, jangan sampai kita kehilangan jiwa keluarga. Usaha mencari nafkah perlu disulami iman, kasih sayang dan tanggungjawab mendidik anak-anak,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Khutbah turut mengajak masyarakat untuk mengamalkan semangat kebersamaan dan berganding bahu membentuk masyarakat yang sejahtera serta berakhlak mulia.

Anwar menegaskan, kekuatan sesebuah negara bergantung kepada kestabilan institusi keluarga dan nilai moral yang kukuh dalam kalangan rakyat.

Beliau turut berdoa agar setiap usaha rakyat diberkati dan Malaysia terus subur dengan nilai-nilai MADANI yang menekankan kesejahteraan serta kemanusiaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat