PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum yang bersejarah di Dewan Universiti Al-Azhar, Kaherah, setelah mengadakan pertemuan bersama Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad Al-Tayyeb, Syeikhul Azhar.
Anwar mengucapkan penghargaan kepada Syeikhul Azhar atas jemputan dan menyifatkan Universiti Al-Azhar sebagai gedung ilmu yang mempunyai sejarah lebih seribu tahun dan telah memberi sumbangan besar dalam pendidikan serta pencerahan dunia Islam.
Anwar menekankan peranan Al-Azhar dalam mempertahankan akidah umat Islam di tengah-tengah cabaran penjajah seperti yang dilakukan oleh Syeikh Rashid Reda, Syeikh Muhammad Abduh dan lain-lain.
“Dalam menghadapi cabaran ini, kita juga punya tema atas nama islah dan pembaharuan di Malaysia mengambil ibrah al-Quran seperti doa Nabi Syuib dalam surah Hud, ayat 88,” katanya.
Beliau turut berkongsi usaha Kerajaan Malaysia dalam memperkenalkan dan mewajibkan pelajar Islam memahami kitab Hadis 40 (Matan Arbain), mengembalikan bantuan pendidikan kepada sekolah agama rakyat dan meningkatkan peluang pendidikan TVET untuk pelajar tahfiz.

Anwar juga menyahut pelawaan Syeikhul Azhar untuk menjayakan Majlis Hukama’ al Muslimin dengan menamakan wakil Malaysia, termasuk seorang wanita.
Beliau mengulangi ketegasan keputusan Kerajaan Malaysia sekali lagi untuk melarang kapal dagang Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia dan mencadangkan agar Israel disingkirkan dari menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Insya-Allah, dengan segala kudrat dan doa anak-anak serta para ulama yang mendukung kita, Malaysia akan melakukan apa yang terbaik untuk negara dan umat,” katanya.