PETALING JAYA: Dalam satu detik bersejarah yang memperkukuh hubungan intelektual antara dua negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif telah meluncurkan buku terjemahan ‘Membangun Negara Madani’ atau SCRIPT dalam bahasa Urdu.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Anwar, beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai penghormatan tinggi daripada Kerajaan Pakistan terhadap gagasan Malaysia Madani.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh jalinan intelektual dan pertukaran ilmu antara Malaysia dan Pakistan tetapi juga mencerminkan pengiktirafan terhadap nilai, prinsip dan falsafah yang menjadi teras kepada pembangunan Malaysia Madani,” katanya.
Terjemahan buku tersebut bukan sekadar simbolik tetapi menjadi wadah penting dalam memperluas pemahaman tentang falsafah Madani yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan kepada masyarakat antarabangsa khususnya dunia Islam.
Terdahulu, Anwar menyambut ketibaan Shehbaz Sharif yang memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, sebagai kunjungan balas kepada lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan pada Oktober tahun lalu.
Sepanjang lawatan itu, Kerajaan Madani telah merangka pelbagai agenda strategik yang menyentuh bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta pertahanan.
Penerbitan buku SCRIPT dalam bahasa Urdu bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik tetapi turut memperluas jangkauan nilai-nilai Madani ke dalam wacana pembangunan negara luar, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai rakan pemikiran yang dihormati di peringkat global.